Takdir Tuhan menempatkan diri pada hari ini dalam kecelakaan, tatkala kereta dilanggar oleh seorang hamba Tuhan juga, berusia 57 tahun. Bukanlah salahku secara total, kerana dia mengundur keretanya tanpa melakukan prosedur munasabah selaku pemandu kereta berhemah. Diminta ampun kepadaku berkali kali, lantas bersunguh sunguh mahu bertanggungjawab dan membayar ganti rugi, aku bersetuju. Berlalulah kami ke bengkel kereta, dan sementera menunggu kereta siap, kami makan di ruang makan yang berdekatan.
Bait bait pesan pakcik, aku ingat satu persatu. Siapa sangka orang yang melanggar kereta kita, bisa aja menitipkan pesan pesan magis dari Tuhan kerana bertapa faham dan yakinnya dia pada hakikat hari kemenangan, dengan cara berpesan pesan dengan kebaikan dan kesabaran.
Perbualan diselang seli dengan pertanyaan dan persoalan. Yang adakalanya aku gugup untuk memberikan jawapan, kerana setiap jawapan yang ditimbulkan pasti ada persoalan yang baru. Hikmah orang tua kerana pengalaman dan keilmuannya, mana mungkin setanding dengan anak muda yang mentah seperti aku.
Izinkan aku menulis, kerana selemah lemah ingatan, adalah sebaik baik tulisan.
Kenapa harus dibaca dengan nama Tuhan pada setiap perilaku kita, hatta sekecil-kecil perbuatan sekalipun. Kalimah bismi, memberi erti, dengan nama, atau dalam bahasa moden itu kita kenal sebagai 'ism'. Tentu sekali kita pernah dengar apa itu nasionalism, liberalism, capatalism, dan segala 'ism' yang ada dalam alam kejadian yang Tuhan ciptakan ini. 'Ism' itu adalah pemikiran, ideologi, cara aturan hidup.
Capatalism itu apa? Kebendaan. Nasionalism tu apa. Kebangsaan. Justeru kenapa perlu dibaca bismillah, dengan nama Tuhan pada setiap perbuatan?
Sang manusia yang punyai peranan sebagai abid dan khalifah, memulakan segala pekerjaan dengan menyebut nama Tuhan, adalah sebagai kepatuhan kita bahawa apa yang kita lakukan adalah sebagai memenuhi syariat yang Tuhan tetapkan. Hidup mati kita adalah berdasarkan apa yang Tuhan telah gariskan.
Pernah kita terfikir dan berfikir kenapa begitu banyak kata kata Tuhan, memberikan perlambangan air sungai mengalir. Pernah kita lihat, air sungai yang mengalir tanpa henti dan mengikut arus itu, akan berhenti ditakuk mana. Apa yang Tuhan sudah dan sedang khabarkan kepada kita, wahai manusia mahkluk yang sememangnya bijaksana seandainya menggunakan akal untuk berfikir?
Air sungai mengalir mengikut arus. Begitulah kehidupan kita sebagai mahkluk yang lemah, wajib mengikut syariatNya dalam memakmurkan bumi ini (soleh). Dalam kita berseru kearah kebaikan dan kesabaran juga, seharusnya mengikut arus, selari dengan siapa mad'unya(muslih-mengajak orang lain juga berbuat baik, kerana bukan kita sahaja ingin masuk syorga).
Apa jadi kalau kita tidak mengikut arus, bahkan kita boleh lihat, segala macam hal di dalam sungai itu yang bergerak tidak mengikut arus, pasti saja tersekat, dan yang tersekat itu pasti sahaja berupa sisa buangan atau sampah. Begitulah kehidupan kita, pasti saja hati tidak tenang dan terumbang ambing seandainya jauh dengan syariat islam. Berdakwah secara semborono dan tidak berhikmah, pasti sahaja kita menzalimi mad'u kita. Bahkan bukan sahaja mad'u kita yang keciciran, malah kita juga dua kali lima kerana kebobrokan sendiri.
Dimana perginya sungai yang mengalir, sungai yang mengalir akan terus ke samudera lautan yang luas. Bergitulah kehidupan kita, ilmu dan hikmah yang dititipkan Tuhan sangatlah luas, justeru tinggallah kita sama ada dalam memenuhi tuntutan menjadi muslim yang soleh dan musleh, adakah kita turut bersekali memburu ilmu dan hikmah yang Tuhan hadiahkan tanpa penghujung.
Apakah kita sudah benar benar memahami dan mendalami Al Quran. Adakah kita benar benar telah beramal sebagaimana dimanualkan dalam alQuran. Adakah kita benar benar mentadabburnya. Pernahkah kita terfikir, kenapa dinamakan sapi betina pada surah yang kedua. Apakah selama ini kita sekadar membaca ayat ayatNya , namun sebenarnya al Quran sendiri telah menemplak kita kerana tidak mahu berfikir saat membaca dan memahaminya. Kerana itulah kita acap kali gagal dan terus melanggar garis panduanNya.
Apakah orang sekeliling kita telah benar benar merasakan magis akan indahnya islam hasil daripada tindakan tindakan dan/ atau pesan pesan kita pada kebaikan dan kesabaran . Termasuklah keluarga terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, non muslim dan lain lain.
Adakah cukup kita ke kuliah kuliah agama, majlis majlis ilmu, usrah atau halaqah kecil, hanya untuk pembaikan diri sendiri, dan mungkin juga sekiranya sudah ada anak usrah, cukup sahaja kita mengusrahkan anak usrah kita sehingga 2, 3 tahun, sedangkan, dakwah kepada keluarga sendiri , pada jiran tetangga, pada sahabat handai, pada non muslim, dan lain lain tidak pula kita sentuh. Adilkah kita.
Kita mahu 7 star hotel di syorga. Adakah pengharapan dan tindakan kita melayakkan kita ke sana.
Terlalu banyak lagi pertanyaan dan persoalan yang dimuntahkan oleh pak cik tua itu pada aku untuk aku coretkan disini. Sungguh, teguran Tuhan saat kereta dilanggar, dan yang menitipkan pesan dan persoalan itu adalah daripada orang yang melanggar kereta kecilmu, benar benar membuatkan aku berfikir.
Adakah aku benar benar menjadi orang yang menang saat hari kemenangan(kiamat) nanti, walaupun hari ini aku telah menang kerana terbukti aku tidak bersalah dan telah pun mendapat ganti rugi(dibaiki kereta).
No comments:
Post a Comment