Powered By Blogger

Friday 2 December 2016

Mencapai keadilan di dunia

Semangat berkobar-kobar untuk menegakkan yang hak itu menjulang tinggi saat aku "long call" pada tahun lepas. Namun adakalanya samar-samar, malap hinggakan hampir terpadam dek kerana lambakan kerja dan kerenah manusia yang pelbagai ragam. Sehinggakan pernah terfikir, aku ini hidup untuk siapa? Hanya untuk menyelesaikan masalah manusia? Sedangkan diri ini juga penuh dengan pelbagai masalah yang diciptakannya sendiri...(monolog aku dijalanan)


Manusia itu sepertinya penuh dengan ketidakpuasan hati. Manusia itu sepertinya hanya mahu menang. Manusia itu sepertinya suka mendesak. Manusia itu sepertinya penuh dengan hasad dengki dan tipu daya. Manusia itu sepertinya tidak pandai menghargai. Manusia itu sepertinya tidak ada kemanusiaan.

Dan aku kau dia kita ....MANUSIA.

Di lapangan ini aku disajikan episod satu demi satu. Tidaklah indah semuanya tetapi andai dihadam perlahan lahan tersimpan satu episod yang jelas yakni jiwa besar dalam perjuangan.

Mereka ini mengajar aku ...REALITI
Suami memukul isteri lalu meninggalkannya terkontang kanting bersama-sama anak menyebabkan anak yang berdosa menjadi mangsa
Lelaki terjebak dengan najis dadah seawal umur 11 tahun sehingga menyebabkan dia kurang siuman dihantar ke hospital gila
Seorang anak menyaman ibunya dek kerana harta yang tidaklah seberapa
Seorang aktivis yang vokal menyuarakan suara keadilan sejagat ditahan berhari-hari
Lelaki yang kemalangan dek pemandu yang kejam dan dia langgar lalu lari
Seorang yang berjawatan tinggi tiba-tiba terpaksa menjual kuih kerana diberhentikan tanpa sebab yang munasabah
Manusia yang acapkali keluar masuk penjara seakan penjara itu menjadi rumah kedua
Ahhh..Banyak untuk aku ingat satu persatu

Hampir saban waktu Tuhan menghadiahkan aku episod ini dan tidaklah Dia tempatkan kita pada ruang dan saat yang sia-sia. Andai pernah kita rasa lemah dan mahu berundur, fikir kembali bagaimana kita bermula, apa niat kita, apa yang kita minta pada Tuhan. Tidakkan Dia sedang mengkabulkan doa kita melalui warkah-warkah realiti yang Dia tuntunkan dihadapan mata?