Powered By Blogger

Thursday 28 September 2017

terhiris dan terguris

Terhiris dan terguris

Hati
Senang saja terhiris
Apa lagi terguris
Lalu meninggalkan luka
Kesan yang dalam

Siapa tiada mengerti
Hanya dihiris dan diguris yang tahu

Aku bukan engkau
Engkau bukan aku
Kita tidak sama
Tolong jangan samakan aku dan engkau

Terhiris dan terguris lagi
Ayuh kita bawa diri
Di ruang yang lebih bahagia
Yang tidak membuatkan hati  menangis lagi

Dia tidak tahu
kerana dia bukan aku

Tuesday 19 September 2017

Adik adik tepian jalan

Semalam hari isnin,  aku menghabiskan rutin malamku di belakang bangunan Alka Ria yang terletak di Chowkit. Sudah agak lama aku tidak pergi ke tempat ini, hampir dua purnama lamanya.  Ada saja perkara berbangkit pada setiap hari isnin (malam). Kali ini, aku pergi bersama Kak Farah, teman seusrah.

Setibanya kami di sana, ada seorang kanak-kanak kecil meluru ke arah keretaku. Molek saja kereta diletakkan  dibelakang bangunan, budak kecil tersebut terus mengetuk-ngetuk pintu kereta menyuruh kami keluar. Tertawa kami melihat telatah anak kecil ini, seakan menyambut kepulangan ayah membelikan jajan seusai pulang dari kerja. Dia salam tanganku dan menarikku ke tempat belajar. Ya, sama saja tempat belajar ini seperti dua bulan yang sebelumnya.

Entah kenapa hati diselubungi suram kerna memikirkan hal mutakhir ini, akan nasib anak-anak kecil ini dikemudian hari. Masih adakah ruang bahagia untuk mereka, tatkala disekeliling mereka penuh dengan episod tragis. Masih adakah ruang cinta untuk mereka, tatkala disekeliling mereka penuh dengan cerca nista dan penindasan.

Kalam iqra' dibuka, memujuk adik adik kecil membaca alif ba ta. Ada saja keletah mereka, baru saja beberapa minit membaca, sudah menggelupur minta diri untuk bermain, dipujuk berkali kali dijanjikan habuan permainan indah-indah, nah, dia fokus kembali.

Malam tadi sekejap sahaja bersama mereka kerana bilangan kami yang mengajar sedikit. Setelah selesai mengajar, aku dan kak farah mengambil angin berjalan di sekitar  kaki lima bangunan itu mentadabur manusia. Malam ini tidak seperti malam-malam lain. Sunyi. Tetapi penghuni di kaki lima itu masih ada. Orang yang sama. Anak-anak kecil yang sama. Allah:'(

Kak farah, seorang yang sangat ceria dengan kanak-kanak, terus menghampiri anak kecil bernama Firdaus, yang dari tadi aku lihat bermain air lecak di kaki lima itu.  Firdaus terus sahaja memercikkan air lecak kepada kak Farah setelah melihat ketibaan kami.  Kak farah mengejar firdaus dan terus mendukungnya sambil berpusing pusing mengikut arah jam. Malam yang tadi sunyi ternyata indah dengan hilai tawa mereka.

Tidak semena-mena, air mata ini tumpah melihat episod spontan dihadapan kini. Seorang  adik kecil yang tidak punya pilihan untuk terus berada di lorong kecil ini. Bagaimana untuk aku membawanya keluar dari ruang gelap ini. Bagaimana untuk aku katakan kepadamu wahai adik, dihadapanmu ada saja orang yang baik-baik untuk kamu. Bagaimana untuk aku katakan kepadamu wahai adik, dihadapanmu, kamu tidak akan terpengaruh dengan anasir luar yang bakal meragut kesucianmu.

Sedangkan kau berada di lorong itu....

Tuhan, tolong lindungi mereka. Berikan kami kekuatan untuk melawan penindasan ini dengan kapasiti yang kami ada. Berikan kami kekuatan ruang dan masa, untuk kami membawa mereka keluar dari lorong yang gelap itu. Tidaklah dapat kami lakukan, melainkan dengan pertolonganMu tanpa putus.

Kami pulang ke rumah. Aku mendapat mesej dari sahabat di dalam group.
" Sebelum tidur, mari sama-sama cek, secara jujur renung ke dalam mata hati. Kemudian tanya pada diri sendiri, bila kali terakhir kita buat sesuatu  semata-mata kerana Allah"

Setelah lelah berfikir dan merenung, aku tertidur.





Monday 18 September 2017

adik adik tahfiz vs adik adik harapan

Peristiwa kebakaran yang berlaku di Madrasah Darul Quran Ittifaqiah wajar diambil ibrah oleh kita yang masih miliki jiwa manusia.

Sangatlah mengejutkan apabila yang merancang pembunuhan beramai-ramai itu adalah terdiri daripada generasi muda pewaris harapan negara.

Tiadalah penulisan ini digunakan untuk menghukum mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu, yang kita lihat umur mereka juga hampir sebaya dengan adik-adik yang telah menemui Pencipta akibat daripada perbuatan itu.

Adakah kita lupa, islam mendidik kita agar membenci perbuatan dosa, bukan si perilaku.

Adakah kita lupa, islam adalah agama kasih sayang, bukan menyebarkan kebencian.

Adakah kita lupa, islam menyuruh kita mendidik, bukan menghukum, melainkan kita mempunyai otoriti tertentu.

Adakah kita lupa, islam itu menawarkan harapan, bukannya putus asa.

Adakah kita lupa, peranan kita sebagai manusia di dunia sementara ini.


Adakah kita lupa, adik adik yang akan dibicarakan di Mahkamah selepas ini akibat daripada perbuatan mereka, masih muda, justeru harapan masih ada?

Apa tindakan kita selepas ini?
Di dunia saat ini, ramai orang tua atau orang muda?
Apa kita masih mahu teruskan kebiasaan yang sedia ada?



Monday 11 September 2017

Part 8: Kerinci membawa pelbagai erti

Malam 20.8.2017
Aku dan kak nora terus turun ke bawah homestay. Kelihatan Andika, Ita, Kak Sarah dan Firdaus sedang rancak berbual. Kak Nora mendahului  membersihkan diri. Aku tumpang sekaki mendengar celoteh Andika kerana  bukan senang untuk mendapat peluang keemasan ini. Andika yang aku kenal pendiam orangnya.


"Kita bisa dapatkan apa yang kita inginkan. Itu kita panggil the power of mind!" Kata kata Andika berlegar dalam benak fikiranku. Payah untuk aku melelapkan mata seusai membersihkan diri.


Kenangan O.T.K, program bersama sahabat GPMS menerjah ruang bilik gelap itu. Kami ditakdirkan Tuhan untuk berada di belantara kota raya sehelai sepinggang selama 7 hari. Segala wang saku, dokumen identiti diri dirampas oleh trainer durjana. Hidup aku selama 7 hari terumbang ambing tanpa arah tuju. Tidur berbumbungkan langit, sama sahaja seperti sahabat gelendangan di kaki lima kedai-kedai dan tepian jalan. Makan sekadarnya. Demi meneruskan survival hidup, kami bekerja mencari wang, sambil melakukan task yang diberi dan misi kami paling utama adalah untuk pergi Melaka. Sehinggalah kami hampir dimasukkan lokap oleh polis, gara gara salah laku membawa binatang ternakan (barang amanah) di pusat membeli belah, kerana disangkanya polis kami dari gerakan sesat. Pesan daripada ketua trainer. "Kau akan dapat apa yang kau nak!" Sejujurnya, program ini banyak meninggalkan kesan pada aku. Terutama dari sudut cara berfikir.

"Ahhh!!Sama dengan Andika cakap! Patutlah macam pernah dengar!"

Berlabuhlah malam pabilakan sampai waktunya
Fajar subuh mula menyinsing, sinar sang suria.


Keesokan harinya. 21.8.2017
Pagi yang hening sekali.

Selepas membersihkan diri, aku mengambil keputusan untuk keluar makan angin di luar. Sungguh indah lukisan alam di luar homestay saat itu. Kelihatan Acap, Hakim dan Iwan  sedang asyik menangkap gambar berlatarbelakangkan Gunung Kerinci. Nasib tidak menyebelahi aku, kerana awan menutupi lukisan gunung itu secara keseluruhan sewaktu tiba giliranku untuk menangkap gambar.




Kami semua mengemas barang masing-masing. Seusai sarapan pagi, kami menghadiahkan diri dengan air teh hangat, sebagai penutup kembara di Kerinci.

Wahai Kerinci yang terpasak megah..
bila lagi kita bertemu..


Perjalanan ke Padang bermula. Sambil melihat diluar tingkap van, akalku ligat memikirkan apa yang dapat aku tadabbur dari anugerah Tuhan kali ini. Sungguh, pelajaran dari alam tidak pernah mengecewakan!

Perjalanan kami tersekat dek kerana ada dua lori kecelakaan menyebabkan mobil-mobil lain yang melalui jalan yang sama turut  menerima tempiasnya.

Kami mengambil peluang untuk melihat apa yang terjadi walaupun kami tahu, kehadiran kami ditempat itu tidak akan mendatangkan kesan apa apa. Sempat juga berkenalan dengan penduduk tempatan, yang ternyata sudah lali dengan ragam dan mehnah disitu.

Bagi mengurangkan kebosanan yang sebenarnya sudah hampir mencapai tahap maksima, kami bermain permainan pembunuh. Acap sebagai pengalun ceritera. Dan kami sebagai pemegang watak utama dan/atau picisan. Permainan ini penuh dengan tipu helah terutama bagi mereka yang telah dicaturkan menjadi pembunuh.


Perjalanan diteruskan. Kali ini lebih menyeronokkan apabila lagu yang diputarkan adalah rock 90an, yang sangat sebati dengan jiwa aku. Tidaklah bosan sebagaimana perjalanan pergi. Rata ratanya bernyanyi dengan penuh perasaan terutama lagu 'Alasanmu-exist' .haha.

Kami tiba di hotel. Selesa sekali. Hari sudah jauh malam. Terus sahaja aku tidur melepaskan lelah selepas membersihkan diri. Walaupun pada awalnya ada sahabat yang mengajak untuk keluar malam itu, tidaklah dapat aku sahut  kerana terlalu capek!



22.8.2017
Juzuk pagi itu berlainan sekali. Setelah membuat keputusan untuk memakai jubah yang berkedut seribu, dengan kaki sedikit tempang, aku mencari seterika di setiap tingkat hotel kami. Namun, apa yang diharapkan tidak ada.

"Kita akan dapat apa yang kita nak. The power of mind."Kata kata ini terngiang-ngiang lagi.

 Aku dan kak sarah mencari setereka berpagian. Sekali lagi aku tawaf hotel kami. Kali ini bersama kak sarah. Sememangnya tiada. Di hotel sebelah pun, tidak ada. Barulah kami tahu , berbeda dengan Malaysia, hotel disini memang tidak menyediakan seterika. Cuma perkhidmatan ini hanya disediakan oleh pihak ketiga/laundry pada waktu-waktu tertentu.

Kami pergi ke tempat yang ketiga. Sekali lagi hampa. Aku sudah berkira kira untuk memakai baju lain. Sehinggalah saat kami berjumpa dengan seorang hamba Tuhan, yang sebenarnya adalah orang yang sama di hotel sebelah, menawarkan khidmat untuk memberikan saterika kepada kami dalam sedikit masa lagi.

"Akak Sarah! The power of mind! Yeayyy!" Ternyata konsep ini juga sama seperti bersangka baik dengan Tuhan.

..

Pagi itu, kami bersarapan di gerai makan yang sebenarnya agak jauh dari hotel kami. Walaupun kata Andika, dekat sahaja jaraknya,  kesakitan kaki yang ada menyebabkan perjalanan terasa begitu jauh.

Pertama kali aku merasai,
Air advokat yang begitu pekat sekali


Setelah penat berjalan di kawasan sekitar dan membeli barang cenderahati, kami menaiki mobil ke muzium yang berdekatan.

Takjub aku melihat segolongan wanita anggun memakai busana tradisional masyarakat Padang. Begitu teliti tenunan kain dan juga cara lipatan kerudung (penutup kepala).

Selepas beberapa minit disitu, sekali lagi kami singgah di kedai cenderahati yang berdekatan dan seterusnya pulang ke hotel berkemas barang dan kemudiannya pergi ke lapangan terbang.

Aku ditakdirkan duduk bersebelahan dengan seorang makcik yang tinggal berhampiran dengan tempat tinggal aku di malaysia. Dia menawarkan diri untuk menghantarku pulang memandangkan rumah kami sangat dekat. Disebabkan iwan kata ada meeting sesampainya kali di KLIA, aku menolak tawaran tersebut.

Entah kenapa aku selesa dengan makcik ini. Barangkali kerana dia penuh dengan sifat keibuan. Rupanya makcik ini baru sahaja kematian suami seminggu yang lepas, yang mana 14 hari sebelum daripada itu, ayahnya juga baru sahaja meninggal dunia. Sudah tertulis dalam luh mahfuz akan hakikat kematian. Sungguh, kita yang masih ada di dunia ini tidak punya pilihan lain, melainkan reda menerima takdir tatkala kehilangan orang tersayang. Dan percayalah, itulah anugerah terbesar pada kita yang masih hdup, kerana diingatkan dengan kematian. Bukankah orang yang bijaksana adalah orang yang sering mengingati mati?

Setibanya di KLIA, kami solat dan makan. Meeting tidak jadi, masing masing terus membawa haluan sendiri. Aku, kak sarah, kak nora, ita, afiq, acap, dan hakim memilih untuk menaiki bus ke kl sentral. Setibanya di kl sentral, aku dan hakim menaiki ktm yang berbeda haluan, dia ke klang, manakala aku ke serdang. Sementara acap dan kak nora, menghala ke lrt, ita dan kak sarah, menghala ke PJ.

Kusangka petualang kami telah selesai namun ternyata tidak. Hakim yang pada awalnya telah terlebih dahulu naik ktm menghala ke klang, terpaksa keluar semula dari ktm tersebut, kerana train delay. Tidak semena-mena, lampu dalam ktm tersebut gelap dan diluarnya tertulis 'NOT IN SERVICE'.

Aku hanya mampu menggeleng dan ketawa melihat apa yang berlaku. Sejujurnya aku juga risau seandainya penyakit train delay ini juga berjangkit pada train lain, habislah aku!

"Tokie sini jap" Hakim memanggil.
Aku pergi ke arah Hakim. " Asal?"

Rupanya ada seorang hamba Tuhan datang ke arah Hakim memohon bantuan. Dikatakan dia baru sahaja memeluk islam dan menyatakan hasrat untuk membawa anak dan isterinya ke sini kerana risau akan keselamatan mereka di kampung sendiri. Tidaklah dia dapat tunjukkan dokumen hitam putih kad islamnya saat itu. Kurang beberapa minit sahaja aku dan hakim berbicara dengan hamba Tuhan itu, ktm menuju ke serdang tiba. Hanya bersangka baik dengan Tuhan, wang semampunya diberikan kepada hamba Tuhan itu, dan aku berlalu pergi.

Hakim mengkhabarkan dia akan menyerahkan hal itu kepada pakcik hidayah centre shah alam untuk membantu hamba Tuhan itu. Dokumen penting seperti kad pengenalan, nombor telefon dan gambarnya telah diambil bagi memudahkan urusan Hidayah centre pada masa akan datang. Wang juga turut diberikan kepadanya, mana tahu boleh dijadikan tambang atau digunakan pada hal hal lain yang berbangkit.

Petualang Hakim agak panjang berbanding kami yang lain kali ini.

Tuhan merezeki Hakim dengan kehadiran hamba Tuhan dengan 'melambatkan' kenderaan yang dinaiki untuk sampai di rumah. Pada waktu yang material,  isu sama ada Hamba Tuhan itu sendiket atau tidak, tidak wajar dijadikan persoalan tetapi apakah tindakan kita saat berdepan dengan aturan Tuhan seperti itu. Bagiku, cukuplah sekadar kita berhati hati bermuamalah dengannya, dan membantunya setelah mendapat tahu hal itu secara zahirnya , kerana dia juga manusia seperti kita. Bukankah islam itu telah lama hadir untuk memanusiakan manusia?
 Thumbs up Hakim!
.
.

Setiap juzuk petualang Kerinci yang Tuhan titipkan, sangatlah mahal seandainya dihadirkan hati untuk memahami. Ada sahaja yang Tuhan sedang khabarkan, memanggil engkau wahai sang manusia untuk merasai kebesaran dan kehebatanNya. Alam berbicara dengan manusia, untuk kita berfikir dan zikir. Jangan hanya dikenang kenang nikmat yang ada, tetapi kenanglah dan pujilah pada Yang Maha Pemberi Nikmat. Moga segala yang kita lalui, memberikan kita kekuatan dalam berdepan dengan tingkatan tingkatan hidup menuju hari Kemenangan.

Sekian coretan kata daripada hamba yang hina ini. Mohon kemaafan seandainya ada yang terluka dengan tulisan tulisan ini. Tiadalah niat yang lain, melainkan berkongsi rasa yang ada tatkala Tuhan memilih kita untuk ke daerah yang asing, Kerinci.

Terima kasih.
Assalamualaikum





















































Saturday 9 September 2017

Episod dilanggar, fikir dan terus fikir

Takdir Tuhan menempatkan diri pada hari ini dalam kecelakaan, tatkala kereta dilanggar oleh seorang hamba Tuhan juga, berusia 57 tahun. Bukanlah salahku secara total, kerana dia mengundur keretanya tanpa melakukan prosedur munasabah selaku pemandu kereta berhemah. Diminta ampun kepadaku berkali kali, lantas bersunguh sunguh mahu bertanggungjawab dan membayar ganti rugi, aku bersetuju. Berlalulah kami ke bengkel kereta, dan sementera menunggu kereta siap, kami makan di ruang makan yang berdekatan.

Bait bait pesan pakcik, aku ingat satu persatu. Siapa sangka orang yang melanggar kereta kita, bisa aja menitipkan pesan pesan magis dari Tuhan kerana bertapa faham dan yakinnya dia pada hakikat hari kemenangan, dengan cara berpesan pesan dengan kebaikan dan kesabaran.

Perbualan diselang seli dengan pertanyaan dan persoalan. Yang adakalanya aku gugup untuk memberikan jawapan, kerana setiap jawapan yang ditimbulkan pasti ada persoalan yang baru. Hikmah orang tua kerana pengalaman dan keilmuannya, mana mungkin setanding dengan anak muda yang mentah seperti aku.

Izinkan aku menulis, kerana selemah lemah ingatan, adalah sebaik baik tulisan.

Kenapa harus dibaca dengan nama Tuhan pada setiap perilaku kita, hatta sekecil-kecil perbuatan sekalipun. Kalimah bismi, memberi erti, dengan nama, atau dalam bahasa moden itu kita kenal sebagai 'ism'. Tentu sekali kita pernah dengar apa itu nasionalism, liberalism, capatalism, dan segala 'ism' yang ada dalam alam kejadian yang Tuhan ciptakan ini. 'Ism' itu adalah pemikiran, ideologi, cara aturan hidup.
Capatalism itu apa? Kebendaan. Nasionalism tu apa. Kebangsaan. Justeru kenapa perlu dibaca bismillah, dengan nama Tuhan pada setiap perbuatan?


 Sang manusia  yang punyai peranan sebagai abid dan khalifah, memulakan segala pekerjaan dengan menyebut nama Tuhan, adalah sebagai kepatuhan kita bahawa apa yang kita lakukan adalah sebagai memenuhi syariat yang Tuhan tetapkan. Hidup mati kita adalah berdasarkan apa yang Tuhan telah gariskan.


Pernah kita terfikir dan berfikir kenapa begitu banyak kata kata Tuhan, memberikan perlambangan air sungai mengalir. Pernah kita lihat, air sungai yang mengalir tanpa henti dan mengikut arus itu, akan berhenti ditakuk mana. Apa yang Tuhan sudah dan sedang khabarkan kepada kita, wahai manusia mahkluk yang sememangnya bijaksana seandainya menggunakan akal untuk berfikir?

Air sungai mengalir mengikut arus. Begitulah kehidupan kita sebagai mahkluk yang lemah, wajib mengikut syariatNya dalam memakmurkan bumi ini (soleh). Dalam kita berseru kearah kebaikan dan kesabaran juga, seharusnya mengikut arus, selari dengan siapa mad'unya(muslih-mengajak orang lain juga berbuat baik, kerana bukan kita sahaja ingin masuk syorga).

Apa jadi kalau kita tidak mengikut arus, bahkan kita boleh lihat, segala macam hal di dalam sungai itu yang bergerak tidak mengikut arus, pasti saja tersekat, dan yang tersekat itu pasti sahaja berupa sisa buangan atau sampah. Begitulah kehidupan kita, pasti saja hati tidak tenang dan terumbang ambing seandainya jauh dengan syariat islam. Berdakwah secara semborono dan tidak berhikmah, pasti sahaja kita menzalimi mad'u kita. Bahkan bukan sahaja mad'u kita yang keciciran, malah kita juga dua kali lima kerana kebobrokan sendiri.

Dimana perginya sungai yang mengalir, sungai yang mengalir akan terus ke samudera lautan yang luas. Bergitulah kehidupan kita, ilmu dan hikmah yang dititipkan Tuhan sangatlah luas, justeru tinggallah kita sama ada dalam memenuhi tuntutan menjadi muslim yang soleh dan musleh, adakah kita turut bersekali memburu ilmu dan hikmah yang Tuhan hadiahkan tanpa penghujung.

Apakah kita sudah benar benar memahami dan mendalami Al Quran. Adakah kita benar benar telah beramal sebagaimana dimanualkan dalam alQuran. Adakah kita benar benar mentadabburnya. Pernahkah kita terfikir, kenapa dinamakan sapi betina pada surah  yang kedua. Apakah selama ini kita sekadar membaca ayat ayatNya , namun sebenarnya al Quran sendiri telah menemplak kita kerana tidak mahu berfikir saat membaca dan memahaminya. Kerana itulah kita acap kali gagal dan terus melanggar garis panduanNya.

Apakah orang sekeliling kita telah benar benar merasakan magis akan indahnya islam hasil daripada tindakan tindakan dan/ atau pesan pesan kita pada kebaikan dan kesabaran . Termasuklah keluarga terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, non muslim dan lain lain.

Adakah cukup kita ke kuliah kuliah agama, majlis majlis ilmu, usrah atau halaqah kecil, hanya untuk pembaikan diri sendiri, dan mungkin juga sekiranya sudah ada anak usrah, cukup sahaja kita mengusrahkan anak usrah kita sehingga 2, 3 tahun, sedangkan, dakwah kepada keluarga sendiri , pada jiran tetangga, pada sahabat handai, pada non muslim, dan lain lain tidak pula kita sentuh. Adilkah kita.

Kita mahu 7 star hotel di syorga. Adakah pengharapan dan tindakan kita melayakkan kita ke sana.

Terlalu banyak lagi pertanyaan dan persoalan yang dimuntahkan oleh pak cik tua itu pada aku untuk aku coretkan disini. Sungguh, teguran Tuhan saat kereta dilanggar, dan yang menitipkan pesan dan persoalan  itu adalah daripada orang yang melanggar kereta kecilmu, benar benar membuatkan aku berfikir.

Adakah aku benar benar menjadi orang yang menang saat hari kemenangan(kiamat) nanti, walaupun hari ini aku telah menang kerana terbukti aku tidak bersalah dan telah pun mendapat ganti rugi(dibaiki kereta).












Wednesday 6 September 2017

Part 7: Kerinci membawa pelbagai erti

Episod turun  gunung dari shelter 2 agak tragis. Seakan mengiakan detik hati.


Keadaan track yang sama saja seperti   semalam melambatkan langkah kami. Berkali kali juga kasut tenggelam. Telefon bimbit yang setia menemani memutarkan lagu lagu indah semakin tenat speakernya membuatkan hati tidak keruan. Sekejap berbunyi, sekejap diam.


Kerana ketakutan saat turun dari gunung ditambah dengan keadaan track yang tidak memihak pada si pendaki, aku memilih untuk berada di tengah tengah kumpulan.



Sesekali aksi melontar lembing yang sangat membahayakan dilakukan oleh kami. Ternyata tongkat yang sebelumnya kawan kini menjadi lawan.


Firdaus  kepewaian. Sesekali  kata kata positif kami ungkapkan dan berharap agar dia tidak terus begitu.


Pelajaran di YYBTN, menolong sahabat yang sedang sulit saat kau juga sulit.Aku  cuba belajar untuk maknai. Langkah sengaja dilambatkan menunggu yang lain.


"Ita, biar tokie bawa beg ita, beg tokie ringan gila seriusly, kita tukar beg sekarang okay." 

Ita pada awalnya menolak kerana aku sengugut dan begnya berat. Aku cuba yakinkan Ita kerana itu hal kesakitan semalam, hari ini baik-baik sahaja dan akhirnya servis membawa beg bertukar tangan. Ita membawa beg aku yang lebih ringan, sementera aku membawa beg ita.


Kali ini pergerakan lebih terbatas kerana ternyata beg Ita begitu panjang untuk orang kerdil macam aku. Ahh, redah saja.

Teringat mula-mula terjebak dalam dunia mendaki bersama GPMS sewaktu zaman universiti. Pesan trainer . "Penat itu perasaan. Perasaan itu boleh dikawal!"


Saat berjalan  berseorangan sambil  membetulkan speaker telefon bimbit yang semakin tenat, kelihatan seorang pendaki duduk berehat. Kepenatan barangkali. Dia senyum. Manis sekali. Adakah dia Zainudin? haha

"Nama kamu syiapa?"  Aku kaget. Jarang orang bertanyakan nama di awal pertemuan apatah lagi semasa mendaki. Orang lebih gemar memberikan kata semangat dan meneruskan langkah. 

"Err, saya Atiqah." Segan pula mahu khabarkan nama pentasku. Ahh, nama sebenar lagi punyai maksud.

"Kamu dari mana?" 
"Saya dari Kuala Lumpur, kamu?"
"Saya dari Palembang"

"Ish, macam dialog dalam wayang Ketika Cinta Bertasbih pula antara Mas Azzam dan Emmba' Anna Althafunnisak pulak dah." Detik hati.

Aku pun minta izin beransur dulu kerana risau makin jauh ditinggalkan kak sarah yang sebelum ini berada di hadapanku. Padahal malu! Alah lupa pula tanya nama. Adeh!



Perjalanan diteruskan dan kami rehat sebentar melempiaskan kepenatan. Lutut Ita tercedera rupanya. Terjatuh lepas makan painkiller. Melihatkan keadaan Ita, Iwan meminta Kak nora untuk assist Ita turun. Sementara kami yang lain di belakangnya.

Kenangan pedih YYBTN terus menerjah. Kedua-dua kuku ibu jari kaki  ini menunggu masa untuk tercabut pada hari ketiga. Malah, masih lagi berbaki 1 hari untuk menamatkan pendakian. Beberapa sahabat berkeras untuk membawa barang-barang yang ada dalam beg aku  walaupun tidaklah aku redha saat itu, kerana memikirkan susahnya menambah beban dalam beg mereka.


Sudah dua orang ditakdirkan Tuhan cedera. Aku berdoa moga tidak ada yang ketiga. Aku yakin ada tarbiah yang Tuhan sedang kirimkan dalam belantara yang cukup tebal ini.


Hari beransur gelap. Ongki melarang aku memasang lagu kerana biarlah kita berbicara dengan alam. Seakan ada maksud lain larangannya.


Kali ini aku terkemudian bersama Agus dan Ongki. Disebabkan pace yang terlalu perlahan, aku banyak duduk menunggu yang lain jalan terlebih dahulu. Sesekali Kak sarah dan Hakim turut serta. Kaki mula kebas-kebas. Aku berharap dalam keadaan genting ini, senggugut gila ini tidak menjelma lagi.


Kak sarah seakan berbisik perlahan . "Trip kali ini, memang kita kena banyak belajar berlapang dada."
Okay, aku sentap. Istigfar berulang-ulang kerana dari tadi aku berperang dengan perasaan sendiri.


Perjalanan diteruskan. Afiq meminta tolong Iwan untuk bertukar tangan membawa beg aku kerana sejak Ita tercedera, Afiq yang mengambil alih membawa beg aku. Iwan pun membawa beg itu dalam beberapa detik. Jujur aku seperti kurang yakin dengan cara Iwan bawa, kerana kedudukan atas beg aku seperti mahu tercabut.


Melihat keadaan itu, aku  menyatakan hasrat untuk membawa beg itu sendiri.

Afiq pula mencelah." Eh tak payahlah Tokie,  Afiq boleh bawa." Aku berkeras menolak  kerana memikirkan sedari awal tadi, Afiq yang bawa beg tersebut. Terpacul dari mulut Iwan. " Kita biarkan dia bawa, kita tengok berapa lama dia boleh tahan."


Panas telinga aku dengar. Pantang anak gadis jawa dicabar. Pantang menyerah sebelum kalah. Mula-mula aku tiadalah begitu yakin untuk bawa dua beg bersekali, tapi bila bawa tu,  rasa okay sahaja. Barangkali keadaan jalan yang  landai dan senang untuk melangkah, ditambah juga latihan di gym mengangkat beban berulang kali begitu banyak membantu.


Aku buat keputusan untuk terus melangkah kehadapan meninggalkan yang lain atas alasan membawa 2 beg. Aku mengikut langkah Hakim yang kini berada dihadapanku, dia berada di belakang Andika. Kami meninggalkan sahabat-sahabat yang lain.


Acap yang dari tadi membantu Firdaus, berada agak hampir dibelakangku. Pergerakan kali ini semakin pantas. Sesekali kami berehat menunggu sahabat-sahabat yang lain. Andika beberapa kali meminta beg aku untuk dipikulnya. Aku menolak mentah-mentah. Nampak benar riak wajah Andika tidak puashati dengan sikap keras kepalaku. Selagi ada kudrat dan masih belum berasa payah, tidak salah andai diteruskan sahaja bawa beg itu.


"Cantiknya bintang, tengok atas, tutup lampu." kata Acap. Sewaktu itu kami melalui jalan seperti di tepi kebun yang menghampiri pintu gerbang.


"Haah. cantik, subhanaAllah. Rasa-rasa kedai makan yang dekat pintu masuk  bukak lagi tak. Kalau bukak dapat minum air teh hangat,  sedap ni." balas aku.


Pintu masuk semakin hampir. Kedai makan yang dibualkan tadi masih buka lagi rupanya. Syukur Allah makbulkan.  Langkah dipercepat. Keenakan teh hangat semakin mendekat.


Sampai sahaja disana.  Agus mengambil order daripada kami dan memberitahu kepada kakak pemilik kedai. Beberapa jeda.  Teh yang dipesan tiba.


"Ya Allah, sedapnya teh ni.!" Teh hangat diminum bersahaja walaupun masih panas. Lebih enak dikongsi bersama kak sarah.haha


"Eh ada api kat situ, kak saya pergi situ sat" Sambil meluru ke arah unggun api.


Sambil menghalakan tangan ke arah haba api dan melihat percikan bintang dilangit, akalku ligat berfikir.


Tidaklah terjangkau dalam pemikiran kecilku bahawa Tuhan akan menganugerahkan hadiah ini untuk meraikan kemenangan kami. Falsafah hidup yang Tuhan nukilkan ini sangatlah indah dan luas untuk jiwa hamba yang kecil hadam sebaiknya. Moga juzuk ini bisa menundukkan jiwa-jiwa tandus untuk kian dekat dengan Tuhan  kerana Tuhan menunjukkan kebesaran dan kekuasaannya tanpa putus.


Gerabak besar telah sampai. Berhimpitan kami kerana ruang untuk duduk dengan selamat tidaklah cukup. Sambil berseloroh dan bersumpah tidak mahu ke Kerinci lagi, Kerinci menerima lambaian terakhir dari kami.

#belumhabislagi
#adalagisatu