Friday, 28 April 2017

Gelendangan itu ada jiwa

Suatu ketika 
Gelendangan di belantara kota raya
Dipandang sepi tanpa suara
Seakan tiada jiwa dan rasa
Kenapa membiarkan diri disana
Tidak berusaha semaksimanya
mengubah nasib hiba
mengemis di tanah air tercinta
.
.
Takdir Tuhan menyatukan kita
dalam beberapa halaman derita
mengubah cara fikir yang dangkal
Setiap mereka ada ceritera episod
Tidak pernah diminta dicoretkan  seumpamanya
Keadaan yang zalim melewati mereka
.
.
Makan minum belum tentu ada
Mengharapkan belas ihsan kemanusiaan oleh sang manusia 
Tidaklah mereka malas bermuram durja
 duit yang dicari hanya cukup 
membayar duit tambang bas
membayar duit sewa bilik tumpangan
membayar hutang seringgit dua
Bila tidak ada wang pitis
Merempat lagi di tepian
Bertemankan langit senja
Saban waktu menggigil kesejukan dek titisan hujan
Bernadakan enjin besi bergerak......
.
.
Ku temui episod harapan di lorong durjana itu
Yang menikam badan tetapi tidak pada roh
dipesan pada aku agar hadirkan hati dalam berbuat perkara
agar kau merasai apa yang patut kau rasa
Kerana ramai manusia kala ini yang tidak sedar apa yang sedang dia berbuat
kerana mereka  miliki hati tetapi ditinggalkannya di tepian....
.
.
Ku temui episod harapan dilorong durjana itu
Yang menikam badan tetapi tidak pada roh
Seorang ibu berpesan pada anaknya
Agar belajar rajin-rajin di lorong itu
Kita tiada wang, tetapi kita miliki jiwa
Jiwa yang bebas dari belenggu kekejaman nafsu ketamakan haloba
jiwa yang tunduk syukur meskipun bersahabat dengan kesempitan
Ku tunduk mendengar nasihat dia
Memandang anak ibu itu dengan penuh pengharapan....
.
.
Sungguh
Gelendangan itu ada jiwa dan rasa
Mungkin lebih besar jiwanya 
dari kau yang memiliki segalanya
tetapi tidak pada jiwa.


Yang benar,
Insan kerdil







No comments:

Post a Comment