Powered By Blogger

Tuesday 19 September 2017

Adik adik tepian jalan

Semalam hari isnin,  aku menghabiskan rutin malamku di belakang bangunan Alka Ria yang terletak di Chowkit. Sudah agak lama aku tidak pergi ke tempat ini, hampir dua purnama lamanya.  Ada saja perkara berbangkit pada setiap hari isnin (malam). Kali ini, aku pergi bersama Kak Farah, teman seusrah.

Setibanya kami di sana, ada seorang kanak-kanak kecil meluru ke arah keretaku. Molek saja kereta diletakkan  dibelakang bangunan, budak kecil tersebut terus mengetuk-ngetuk pintu kereta menyuruh kami keluar. Tertawa kami melihat telatah anak kecil ini, seakan menyambut kepulangan ayah membelikan jajan seusai pulang dari kerja. Dia salam tanganku dan menarikku ke tempat belajar. Ya, sama saja tempat belajar ini seperti dua bulan yang sebelumnya.

Entah kenapa hati diselubungi suram kerna memikirkan hal mutakhir ini, akan nasib anak-anak kecil ini dikemudian hari. Masih adakah ruang bahagia untuk mereka, tatkala disekeliling mereka penuh dengan episod tragis. Masih adakah ruang cinta untuk mereka, tatkala disekeliling mereka penuh dengan cerca nista dan penindasan.

Kalam iqra' dibuka, memujuk adik adik kecil membaca alif ba ta. Ada saja keletah mereka, baru saja beberapa minit membaca, sudah menggelupur minta diri untuk bermain, dipujuk berkali kali dijanjikan habuan permainan indah-indah, nah, dia fokus kembali.

Malam tadi sekejap sahaja bersama mereka kerana bilangan kami yang mengajar sedikit. Setelah selesai mengajar, aku dan kak farah mengambil angin berjalan di sekitar  kaki lima bangunan itu mentadabur manusia. Malam ini tidak seperti malam-malam lain. Sunyi. Tetapi penghuni di kaki lima itu masih ada. Orang yang sama. Anak-anak kecil yang sama. Allah:'(

Kak farah, seorang yang sangat ceria dengan kanak-kanak, terus menghampiri anak kecil bernama Firdaus, yang dari tadi aku lihat bermain air lecak di kaki lima itu.  Firdaus terus sahaja memercikkan air lecak kepada kak Farah setelah melihat ketibaan kami.  Kak farah mengejar firdaus dan terus mendukungnya sambil berpusing pusing mengikut arah jam. Malam yang tadi sunyi ternyata indah dengan hilai tawa mereka.

Tidak semena-mena, air mata ini tumpah melihat episod spontan dihadapan kini. Seorang  adik kecil yang tidak punya pilihan untuk terus berada di lorong kecil ini. Bagaimana untuk aku membawanya keluar dari ruang gelap ini. Bagaimana untuk aku katakan kepadamu wahai adik, dihadapanmu ada saja orang yang baik-baik untuk kamu. Bagaimana untuk aku katakan kepadamu wahai adik, dihadapanmu, kamu tidak akan terpengaruh dengan anasir luar yang bakal meragut kesucianmu.

Sedangkan kau berada di lorong itu....

Tuhan, tolong lindungi mereka. Berikan kami kekuatan untuk melawan penindasan ini dengan kapasiti yang kami ada. Berikan kami kekuatan ruang dan masa, untuk kami membawa mereka keluar dari lorong yang gelap itu. Tidaklah dapat kami lakukan, melainkan dengan pertolonganMu tanpa putus.

Kami pulang ke rumah. Aku mendapat mesej dari sahabat di dalam group.
" Sebelum tidur, mari sama-sama cek, secara jujur renung ke dalam mata hati. Kemudian tanya pada diri sendiri, bila kali terakhir kita buat sesuatu  semata-mata kerana Allah"

Setelah lelah berfikir dan merenung, aku tertidur.





1 comment:

  1. Kadang kite teringin nak ikut tokie. Kesian adik2 tu, orang lain main mainan warna warni kat rumah, dia main lecak pun happy. :'(

    ReplyDelete