Powered By Blogger

Wednesday, 30 August 2017

Kerinci membawa pelbagai erti( Part 4)

Part 4

Dan gunung-gunumg sebagai pancang-pancang(surat annaba'- ayat 7)

Menurut tafsir al azhar karangan buya Hamka, Dijelaskan ayat ini kegunaan gunung. Kalau gunung tidak ada, bumi tidak akan selamat dan tidak akan terbentang dengan baik. Kerana angin selalu berhembus keras akan membongkar urat dari kayu kayu yang tumbuh sebagai keperluan untuk hidup. 

.

Seawal fasa pertama, fasa ketika sakit belum menyerang lagi.  Aku cuba mengejar langkah Andika. Sungguh, dia laju!
“Andika, langkahmu boleh kecil sedikit ke?” Tanyaku.
Dia ketawa sahaja, sambil mengecilkan langkahnya.Adakalanya dia turut serta nyanyi lagu Exist, Zamani, Hindustan dan lain-lain mengikut lagu lagu yang diputarkan dalam telefon bimbitku.  Sememangnya dari dulu lagi, lagu  mesti dipasang  untuk naik gunung, agar tidak layan pewai! haha


Ada tikanya bila sakit menyerang, Aku menyuruh Andika berhenti. Terpaksa aku beritahu dia hal sebenar. Alhmdulillah dia faham. Tetapi, Panadol yang dia beri ternyata tidak membawa kesan apa-apa. 



“Okay Tokie, u can do it” “ Please jangan manja sangat!, Jangan mengalah okay!” Hati ini nenjeritkan kata semangat. Aku mengangguk pada Andika minta dia teruskan langkah.

Tidaklah ingat di checkpoint yang mana, rasa sakit menerjah bertubi-tubi.
 "Andika, kamu tinggal sahaja aku. Nanti aku dah okay, aku jalan.”
Andika mengangguk. Hakim serta Kak nora pun memintas aku. Iwan pun.

Saat itu terbayang katil dirumah. “Patut baring sahaja kat rumah tahan sakit sebab benda ni, asal aku kat sini!” Monolog aku menafikan takdir Tuhan yang telah tersusun rapi.

Air mata mengalir juga sebab menahan sakit. Dek kerana  Afiq dan Kak Sarah berada di belakangku, cepat-cepat diseka air mata itu. Tak macho la beb!.

 
Alhamdulillah, Tuhan memberikan aku  painkiller. Firdaus sebagai pengantara. Thank you Firdaus  sebab bawa. Selepas makan painkiller yang langsung tidak enak, terasa  kurang sakitnya. Aku meneruskan langkah berbekalkan baki tenaga yang masih ada. 

Namun, ujian lain pula hadir. Kasut yang baru ku beli awal tahun ini terbenam berkali-kali dalam selut sepanjang track menuju shelter 2. Adakalanya sukar untuk diangkat kembali kasut yang terbenam itu, sehinggakan terpaksa dibantu oleh orang lain untuk menarik kasut yang terbenam.

 Dan pernah ketikanya aku menjadi orang terakhir, dan dibelakangku Agus dan Ongki. Mujur Ongki bawa parang. Disebabkan parang itulah aku cuba berjalan dengan lebih laju terpaksa memintas sahabat yang lain. Sungguh, bertentang mata dengan dengan parang itu tidaklah aku sanggup. Serius tak tipu!

Aku terpaksa makan painkiller kali kedua kerna sakit yang perit itu bertandang kembali tanpa diundang. Itu pun setelah dinasihati berulangkali oleh Afiq.  Pada awalnya, dibantahnya segala nasihat yang ada  kerana tidak elok untuk buah pinggang. Tambahan pula, rasa ubat sememangnya  menjelekkan. Seandainya persis air teh hangat tidak mengapalah juga.
                                                       

Selepas makan painkiller, terasa ada aura lain yang datang pula.
“Wow painkiller ni macam air extrajost ke apa sebab dah boleh gerak laju dah ni, hihi”. Aku menoleh kebelakang.
 “Mana Kak sarah dengan Afiq ni. Rasa serba salah pulak tinggalkan depa ni. Padahal masa sakit tadi, depa dengan aku. Tak kenang budi betul kau tokie” cakap aku sorang-sorang bagai orang kurang siuman.

Aku memperlahankan langkah. Kelibat  Afiq muncul. “Afiq, mana kak sarah?” “Dia dengan badd.” Dan kami pun meneruskan langkah ke Shelter 2.

Kami sampai ke Shelter 2 hampir masuk magrib. Disitu aku lihat, iwan, hakim, andika dan kak nora sudah sampai. Hebat !





                                                            

Kerinci membawa pelbagai erti (Part 3)


Part 3

Malam itu, kami tidur dengan nyenyak. Penat benar rasanya. Kerana sudah terbiasa bangun awal pagi, di Homestay  itu aku bangun seawal 4.00 pagi hanya untuk menggosok gigi dan membuang hajat kerana malam tadi telah pun aku menahan sejuk membersihkan diri.


Kami menimbang beg masing-masing. Ita paling berat begnya berbanding gadis-gadis lain. Mungkin kerana jenis beg yang dipinjam daripada Saidah itu memang berat. Dan paling ringan adalah kak Nora.


Sarapan yang disediakan pagi itu aku gagal habiskan. Barangkali  nervous yang terlampau. Atau mungkin juga kerana ‘sakit perempuan’ yang Tuhan anugerahkan. Telatah budak kecil bermain daun trup dari tadi menarik perhatian ku.




“Nama kamu syiapa?”
“Nama aku Yonata”
“Wau, nama macam orang Jepun, berapa umurmu?”
“ Umur aku Lima” sambil tersengih membilang dan  menunjukkan jari kecilnya.
“Comelnya kamu. Sini aku ajarin kamu, kamu boleh jual daun trup ini. Masa aku kecil aku pun jual daun trup. Kamu boleh buat bisnes!”


Yonata memandang kosong wajahku. Aku tahu dia blur. Mana mungkin budak sekecil ini tahu untung rugi berbisnes haha. Dan aku cuba yakinkan dia lagi sambil mengambil daun-daun trup itu dari simpanannya.


“Begini, kamu ikat daun trup ini sebanyak 10 keping. Kemudian kamu jual dengan seikat bersamaan 1 ringgit. Atau di Indonesia ni berapa ya… "

Yonata seakan tidak faham dengan apa yang aku cakap. Terus dia mengambil daun trup itu dari aku dan menepuknya sehingga terbalik. “Nak ajak aku main daun trup jugak la tu haha.” Bisikku perlahan.


Aku pun bermain daun trup dengan Yonata.  

Zaman kanak-kanak adalah  zaman yang sangat indah. Kerana kita tidak perlu memikirkan hal-hal besar sebagaimana sekarang. Kita akan dapat apa yang kita inginkan meskipun kita sendiri tidak mampu untuk mendapatkannya. Dan yang paling indah adalah kerana abah masih ada.


“Okay2, semua orang angkat beg, letak dalam van.” Arah Iwan Gogo terhormat. Terhormatlah sangat~
“ Yonata, aku sudah mahu pergi, kau doakan aku ya sampai puncak.”

Sekali lagi Yonata memandang ku kosong dan terus kemas permainannya dan pergi ke dapur. Aku tahu dia blur lagi. Haha.

Sebelum pergi, kami menangkap gambar sebagai kenang-kenangan.

                                       

                                       
Langkah disusun tawakal digenggam,
Hati berbisik dengan kalimah pahlawan,
Bertemankan lagu nasyid,  jiwang dan suram,
Penaman setiap langkahmu wahai kawan

Kerinci membawa pelbagai erti(Part 2)

Part 2

"Beri aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, beri aku 10 pemuda, nescaya akan kuguncang dunia"- bung karno



Tiba di Lapangan Terbang Padang,  kami disambut oleh guider, Andika nama diberi. Pertama kali melihat namanya di ruangan whats up group. Sungguh unik namanya, laksana pendekar dahulu kala. Nama penuh beliau adalah Andika Laksamana.














Perjalanan menaiki van kecil yang boleh memuatkan seramai 12 orang penumpang itu menarik pada awalnya. Lagu-lagu dalam bahasa Minang diputarkan.  Aku cuba mengulang perkataan yang tidak pernah didengar sebelum ini agar masuk dalam kamus bahasaku. Sambil mengamati kesibukan jalan raya yang berbeda budaya pemanduan warga kotanya tika membawa mobil, aku bersyukur dilahirkan di Malaysia. Di sini, keberanian dan kesabaran yang tinggi perlu ada pada setiap orang jika ingin membawa mobil dijalanan yang sibuk itu kerana ruang dan keadaan jalan raya begitu tidak memihak kepada sang pemandu.
     
                                   
Perjalanan diteruskan ke Homestay di Kerisik Tuo Jambi. Sebelum daripada itu, kami singgah di beberapa tempat iaitu di TransMart, Petualang Outdoor, Masjid Raya Sumatera Barat, Rumah Makan Pauh Permai, dan Pecel Lele Mas Mon. Perjalanan mengambil  masa lebih kurang 10 jam! Lagu Minang diputar berulang-ulang. Sempat juga aku mengkritik lirik lagu yang digunakan kerana terlalu ‘straight to the point’.Amatlah berbeda dengan  bahasa melayu Minang sebagaimana yang digunakan dalam buku-buku Buya Hamka, begitu puitis  sekali sehingga menjinakkan ramai pembaca.  

"Ada lirik yang puitis barangkali, cuma aku yang masih belum jumpa.haha.husnuzonlah sis!" Getus hati.

 
Amat jarang aku travel jauh. Jarak rumah dan kampungku di Melaka (perkampungan orang jawa juga) yang acap kali aku pergi kerana melawat pusara ayah tercinta hanya memakan masa sekitar 2 jam sahaja. Kalau bawa laju, akan sampai dalam  1 jam setengah. Jadi perjalanan kali ini benar-benar menggugah jiwa. Berkali-kali bangun dan tidur, masih belum sampai. Dan, masih lagi lagu-lagu yang sama diputarkan. Haha.


Aku cuba belajar untuk berlapang dada kerana mana-mana  permusafiran atau pengembaraan, kalau hanya ikut kehendak kita sahaja, tidaklah mencabar. Dan lebih tragis,  kurang tinggalan kenangan untuk diingati. Kenangan seandainya pahit, lebih sukar untuk dilupakan kerana pasti memberikan banyak pengajaran!
 
Sepanjang perjalanan, ada beberapa tempat yang kami singgah untuk makan. Pasti secawan teh hangat menjadi pilihan.

Teh hangat dihirup terasa segar..
Melupakan kesakitan dalam..
Melupakan kepedihan silam..
Rindu aku pada arwah abah pasti terubat dengan secawan teh…=)
Seusia tiba di homestay, Ongki mencabar kami. Aku tidak pasti siapa lagi yang dengar tetapi aku dengar setiap bait katanya. Beliau mencabar kami.” Syiapa yang mandi malam ini, aku akan belanja dia makan!”


Terus sahaja aku balas.” Uii, kalau macam tu, esok kau kena  belanja aku makan!”Acah-acah membahasakan diri kau aku macam dah lama kenal.Dan dia hanya ketawa sahaja. Cis!

Kerinci membawa pelbagai erti (Part1)

Part 1

Pertama kali aku menulis cerita
Tidaklah pandai menyusun kata
Tetapi aku mesti cuba
Kerana Tuhan menghantarkan Kerinci untukku
Agar dapat belajar sesuatu
 .
.

Detik yang ditunggu telah tiba. Semalaman tidak langsung dapat tidur memikirkan nasib yang bakal ditemukan. Baru saja mendapat tahu ‘datang bulan’ bukanlah suatu perkara yang mengembirakan tatkala misi bertolak ke KLIA seterusnya ke Padang menakluk Kerinci berbaki beberapa jam lagi. Mahu mengundur diri mana mungkin berlaku kerana barang semua sudah tersimpan rapi dalam beg galas. Aku hanya mengharapkan kejaiban dari Tuhan moga diberi kekuatan luar biasa menahan sakit ‘orang perempuan’.


Setelah segala persiapan fizikal mental selesai, termasuklah memanjat Gunung Datok, Gunung Nuang 2 kali, naik turun tangga rumah berkali-kali, pergi gym hampir setiap hari dan lain-lain, Tuhan hadirkan ‘anugerah ini’ untuk membisikkan kepadaku agar bukan usaha kau sahaja yang mengizinkan kau akan sampai ke Puncak sana. Tetapi mesti dengan keizinan ‘Aku’.  Pagi itu, langkah dimulakan dengan pengharapan tidak berbelah bahagi hanya pada Tuhan moga diizinkan ke Puncak sana walaupun dengan ‘Anugerah ini’ tanpa menyusahkan orang lain.


“Ika, mama nak ikut hantar ika boleh sampai ke KLIA?” Tanya mama.
“ Boleh je ma. Daus sempat pergi kerja tak nanti sebab nanti kena hantar mama balik semula kan?” Aku balas dan bertanya pula pada adikku.
“Sempat insyaAllah.”Jawab Daus ringkas.
“Kalau macam tu, Ika bawa kereta, sebab kawan yang naik kereta Ika tu lelaki. Mama duduk sebelah Ika, Daus duduk belakang. Daus, kau rehatlah sambung tidur balik ea. Sory susahkan kau kena hantar akak pulak pagi-pagi ni sebelum pergi kerja.” Ujarku tanpa berfikir panjang.


Kami terus menuju kerumah Badd. Setelah tiba di sana dan dalam beberapa minit kemudian,
” Hai Tokie.” Lambai Badd sambil berjalan dengan  gembiranya,  menggalas beg di bahu dan lengan.
“Hai badd, Tokie nak minta tolong dengan  Badd dalam kereta nanti, Badd tolong bahagikan baju Kerinci ya. Tokie tak sempat nak buat semalam, ke KLIA ni tokie yang drive tau. Thank you badd” Aku tak pasti sama ada ini ayat untuk minta pertolongan atau arahan. Haha. Badd seperti biasa, dia okay sahaja.


Terasa mengantuk sepanjang perjalanan ke KLIA kerana tidak dapat tidur semalaman. Dalam kereta kedengaran suara Badd yang begitu asyik mengira dan membahagikan baju bertemankan cahaya lampu dalam kereta yang samar-samar dan lampu dari telefon bimbitnya. Aku tidak berminat untuk memulakan apa-apa perbualan kerana memikirkan untung nasib dibumi orang kerana ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke Indonesia. Cuma sekali sekala aku berbual dengan mama kerana mama sangat diam kali ini, barangkali khuatir akan keadaaan anak sulongnya.



Setibanya di KLIA, dalam beberapa minit menunggu, mama dan adik ingin pulang.  Aku memeluk mama mohon restu dan doa agar misi kami tercapai. Tiadalah hijab doa seorang ibu kepada Tuhan untuk anaknya selagi mana tidak melanggar batas syarak. Lambaian selamat tinggal pada mama dan adik pada waktu itu membuatkan hati ini jadi sayu.” Ish jangan nangis . Kejap je pun, tak yah  nak drama sangatlah tokie, !”bisikku dalam hati.




Setelah selesai urusan check in bag, kami bergambar dan terus naik ke pesawat. Tempat dudukku pada awalnya dibelakang sekali. Aku hanya berharap agar yang duduk disebelah ku adalah wanita. Tup2. Naufal. Ceh.  


Sempat juga kami berbual perihal masa depan GEMA Selangor dan GSB. Aku turut suarakan lebih molek sekiranya isterinya, Hidayah duduk disebelah Naufal, tentu lebih  senang  menyusukan Nizar yang masih kecil kerana aku difahamkan ini kali pertama Nizar naik kapal terbang. Naufal sependapat denganku kerana dia pun pada awalnya memang tidak tahu yang aku duduk di sit belakang tu. Kurang beberapa jeda, Hidayah ke tempat kami dan aku terus menukar tempat dengan Hidayah.


Ditempat duduk yang baru (tempat hidayah), aku berkenalan dengan sahabat baru. Seorang memang penduduk asal daerah Padang. Sebelum ini datang ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk melawat saudara darah daging. Seorang lagi pelajar UM. Mereka melawat Padang  kerana ia merupakan agenda yang telah dibincangkan dalam aktiviti persatuan. Setelah memberitahu misi kami, aku minta izin pada sahabat baru untuk tidur kerana semalaman berjaga.

Tiada mimpi dalam lena..
Ingin mengumpul tenaga..
Mulakan langkah pertama..
Di bumi Indonesia..





Monday, 24 July 2017

jodoh

Salah ke kalau memilih
Salah ke kalau memilih untuk menolak
Salah ke kalau memilih untuk tidak bersedia
Salah ke kalau memilih untuk membuat banyak pertimbangan sebelum berbuat keputusan


Adakah seseorang itu wajar dihukum kerana terlalu memilih
Adakah seseorang itu wajar dihukum kerana memilih untuk tidak berkahwin saat itu
Adakah seseorang itu wajar dihukum kerana memilih untuk terus berseorangan saat itu
Adakah seseorang itu wajar dihukum atas kesilapan yang lalu
Adakah seseorang itu wajar dihukum atas keputusan yang ditetapkannya sendiri walau sebenarnya dia telah buat banyak pertimbangan
Adakah seseorang itu wajar dihukum hanya dilihat  pada luarannya bukan pada dalamannya

Manusia itu mana pernah faham sesama manusia
Walaupun kita ini sama sahaja
Jangan diharap kau akan difahami dia
Jangan diharap kau juga memahami dia
Persetankan semua pemahaman yang kau ada kerana itu semua anggapanmu sahaja

Wahai jiwa yang kecil dan rapuh
Letakkan kebergantunganmu lebih tinggi dari langit
kerana Dia tidak pernah mengecewakamu
Walau apapun yang kau pilih
Asal kau mengerti apa niatmu dihati
Asal kau mengikut apa yang syarie
Ikut saja kata hatimu
Pasakkan prinsipmu

Andai sudah tertulis kau berjodoh dengan manusia sebelum ajalmu
Maka terimalah dia seadanya dengan sepenuh hati
Andai tiada kesempatan masa untuk itu
Moga disyorga kita bertemu

(Sekadar monolog)





Sunday, 11 June 2017

Seminar istimewa khas Ramadhan Tadabbur Hikmah Juzzuk 'Amma

Bulan ramadhan adalah bulan Al Quran

Al quran mengandungi hudan dan bayyinat.

Hudan: petunjuk, pelajaran, pedoman
Analogi: kita first time pi DBP, so kita guna waze. Dengan guna waze, kita tahu kita menuju ke arah mana.

Dalam erti kata lain, hudan adalah apa pedoman/ pelajaran untuk selamat berjalan menuju akhirat.

Bayyinat:mukjizat (tafsiran drpd surah israa). Mukjizat hanya ditawarkan dalam al quran. Ianya bukan sekadar pengajaran, tetapu bagaimana cara pengajaran itu disampaikan.

Analogi: khatib bg talk masa solat jumaat. Apa yg disampaikan memang benar, cuma kenapa ramai pula yang ter'syahid'. Mungkin cara penyampaian yang kurang berkesan sbb hanya baca teks.

Contoh:
Membaling tongkat lalu menjadi ular adalah salah satu bentuk pembuktian بينات من الهدى  yang hanya mampu dilakukan oleh Allah untuk mendokong dan menyokong kebenaran isi kandungan.

Bayyinat memerlukan tadabbur agar benar-benar mesej dirasai hati sehingga tiada lagi sebarang keraguan.

Fahami petunjuk al-Quran melalui tafsir, yang mana kita menggunakan akal dalam mengetahuinya.

Hargai kemukjizatan al-Quran melalui tadabbur, yang mana kita menggunakan hati dalam merasainya.

Kerana islam itu agama intelektual dan emosi.

Tafsir dan tadabbur itu berbeda.
Tafsir itu adalah antara wasilah(cara)untuk kita bertadabbur.

Analogi:
Tafsir: usaha untuk mengupas kulit durian bagi mengesahkan isi duriannya

Tadabbur:menikmati kemanisan durian itu setelah dikupas.

Bagaimana ingin tadabbur?
Baca Alquran
Lihat terjemahan
Renung perhati/ amati/ refleks pada diri

Bahkan, sehinggakan kepada semangat menghadapi perang dengan kuda yang tangkas berlari pun disuruh menjadi perhatian kita.

Contoh: surah al adiyat 1-5(rujuk maksud)
Memperihalkan  keadaan kuda perang.
Tadabbur: cuba bandingkan dengan sikap kita.

Sifat kuda perang itu sendiri sentiasa melakukan perintah yang diberikan oleh tuannya tanpa banyak soal, bersegera dlm melaksanakan arahan tuannya.
Selain itu, kuda perang tersebut juga sentiasa memberikan komitmen yg tinggi ketika melaksanakan tugas.

Nafas tercungap2 kuda perang: Tanda tidak ada protes atau complain dalam melaksanakan perintah.

Bagaimana dengan sikap kita ketika melaksanakan perintah Allah?
Kita dalam ayat Allah ini berada di takuk mana?

Jangan jadi seperti ahli kitab, mereka hanya membaca, menghafal tetapi tidak beramal dengannya.

Pada yang tidak berkesempatan untuk melihat tafsir kerana kadangkala agak sukar difahami dari sudut bahasa atau kekangan masa dan sebagainya. Mungkin cukup untuk melihat terjemahan Al Quran tersebut dan melakukan refleksi dalam diri.

Namun, ianya lebih indah andai kita dapat memperuntukkan masa untuk melihat tafsir yang dikarang oleh ulama2 kerana dari situ, kita akan dapat tahu ayat2 cinta Tuhan itu dengan lebih dalam.

Sebagai analogi, kita mungkin puas melihat keindahan laut yang  indah saujana mata memandang. Tetapi keindahan tersebut pasti akan bertambah nilainya apabila kita menyelam hingga ke dasar lautan melihat khazanah yang dicipta Tuhan.

Moga Allah berikan kita masa ruang peluang serta kekuatan untuk memahami ayat CintaNya dan beramal dgnnya.

#belajarterusbelajar
#belajardanberamal
#alquranpedomanhidup





Friday, 28 April 2017

Gelendangan itu ada jiwa

Suatu ketika 
Gelendangan di belantara kota raya
Dipandang sepi tanpa suara
Seakan tiada jiwa dan rasa
Kenapa membiarkan diri disana
Tidak berusaha semaksimanya
mengubah nasib hiba
mengemis di tanah air tercinta
.
.
Takdir Tuhan menyatukan kita
dalam beberapa halaman derita
mengubah cara fikir yang dangkal
Setiap mereka ada ceritera episod
Tidak pernah diminta dicoretkan  seumpamanya
Keadaan yang zalim melewati mereka
.
.
Makan minum belum tentu ada
Mengharapkan belas ihsan kemanusiaan oleh sang manusia 
Tidaklah mereka malas bermuram durja
 duit yang dicari hanya cukup 
membayar duit tambang bas
membayar duit sewa bilik tumpangan
membayar hutang seringgit dua
Bila tidak ada wang pitis
Merempat lagi di tepian
Bertemankan langit senja
Saban waktu menggigil kesejukan dek titisan hujan
Bernadakan enjin besi bergerak......
.
.
Ku temui episod harapan di lorong durjana itu
Yang menikam badan tetapi tidak pada roh
dipesan pada aku agar hadirkan hati dalam berbuat perkara
agar kau merasai apa yang patut kau rasa
Kerana ramai manusia kala ini yang tidak sedar apa yang sedang dia berbuat
kerana mereka  miliki hati tetapi ditinggalkannya di tepian....
.
.
Ku temui episod harapan dilorong durjana itu
Yang menikam badan tetapi tidak pada roh
Seorang ibu berpesan pada anaknya
Agar belajar rajin-rajin di lorong itu
Kita tiada wang, tetapi kita miliki jiwa
Jiwa yang bebas dari belenggu kekejaman nafsu ketamakan haloba
jiwa yang tunduk syukur meskipun bersahabat dengan kesempitan
Ku tunduk mendengar nasihat dia
Memandang anak ibu itu dengan penuh pengharapan....
.
.
Sungguh
Gelendangan itu ada jiwa dan rasa
Mungkin lebih besar jiwanya 
dari kau yang memiliki segalanya
tetapi tidak pada jiwa.


Yang benar,
Insan kerdil